BUTTERWORTH, 17 Jun-Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada ahli politik, dan ejen luar supaya tidak mencampuri urusan perolehan aset ketenteraan.
Menurut Perdana Menteri, keputusan berkaitan perkara tersebut wajar diputuskan sendiri oleh pihak tentera sendiri bagi memastikan dasar pertahanan negara sentiasa kukuh.
“Kalau nak beli kapal, senapang, biar ambil keputusan profesional daripada bahagian masing-masing, orang-orang politik, ejen-ejen luar jangan masuk campur.
"Apabila ia sudah diputuskan, kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan mengenai kos (pembelian) dan kita runding terus antara kerajaan-kerajaan untuk mengelakkan ketirisan", katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama warga Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan rumah penjawat awam termasuk tentera.
Jelasnya lagi, proses baik pulih kerosakan kediaman sedia ada akan dimulakan pada tahun hadapan.
(FOTO BERNAMA)