SEREMBAN, 17 Jun- Program Kembara Anak Muda Madani Negeri Sembilan disertai sebanyak 250 buah motosikal.
Ia meliputi jarak perjalanan sepanjang 182 Kilometer membabitkan tiga daerah iaitu Seremban, Port Dickson dan Rembau.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, program itu bertujuan mendekati golongan muda dan memastikan mereka dapat menyelami keindahan lokasi menarik di negeri itu.
"Kita berharap bahawa program ini akan menyedarkan kita untuk menjaga tapak sejarah kita selain mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling.
"Saya juga mahu orang mengenali Negeri Sembilan dan sejarahnya seperti Lukut, Seri Menanti dan daerah Jelebu. Jadi kalau semua orang Negeri Sembilan tahu, ia bukan sahaja belajar untuk lulus peperiksaan malah mencintai peninggalan sejarah sebagai satu warisan," katanya kepada pemberita di sini.
Bagi Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Sabarudin Yeop Hamza yang juga selaku penganjur program, pelepasan konvoi yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap lokasi yang di lawati dapat memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia Madani .
"Dalam masa yang sama kita mendidik anak-anak muda supaya mereka melihat bagaimana kerajaan ini telah membangunkan Negeri Sembilan begitu baik sehingga kita mampu melaksanakan program seperti ini. Ia juga memberikan gambaran sebenar kepada mereka dan seterusnya menangkis berita-berita palsu yang disebarkan," katanya.
(Aminuddin Harun)