fb fb fb fb fb

Speaker Parlimen, DUN perlu jadi pengadil adil demi kembalikan keyakinan rakyat

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul/ Foto BERNAMA

BANDA HILIR, 20 Disember – Semua Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diingatkan supaya bertindak sebagai pengadil yang adil, bijak dan berkecuali ketika mengendalikan persidangan dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, peranan itu penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi legislatif sebagai platform menyuarakan kepentingan awam.

Menurut beliau, setiap keputusan yang dibuat di dalam dewan perlu berpaksikan kepentingan rakyat serta mengambil kira pandangan semua pihak, tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

“Speaker tidak boleh bermain politik. Speaker mesti menjadi pengadil yang bijak dan adil bagi memastikan setiap keputusan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta mencerminkan suara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 di sini.

Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam ucapannya, Ab Rauf mencadangkan empat objektif utama dibincangkan sepanjang persidangan berkenaan, termasuk memperkemas dan menyeragamkan piawaian legislatif antara Parlimen dan DUN.

Selain itu, persidangan turut menjadi platform perkongsian amalan terbaik antara dewan-dewan legislatif, mengukuhkan peranan institusi legislatif sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap eksekutif, serta membincangkan cabaran baharu dalam landskap perundangan negara.

Beliau menegaskan bahawa Parlimen dan DUN seharusnya menjadi medan untuk menyuarakan pandangan dan membela keperluan rakyat, bukannya tempat mencetuskan konflik atau menghina sesama pemimpin yang dipilih rakyat.

Menurutnya, kematangan dan kecemerlangan dalam amalan demokrasi amat penting bagi memastikan sistem demokrasi negara terus berfungsi secara berkesan.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI