fb fb fb fb fb

Masyarakat sambut baik pelaksanaan Peruntukan Deeming MCMC mulai 2026

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 20 Disember – Masyarakat di Kelantan menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Reaksi positif itu dilihat sebagai usaha kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh negatif di ruang siber.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui berpandangan pelaksanaan peruntukan berkenaan adalah tepat pada masanya bagi membendung penyalahgunaan media sosial dan kandungan tidak sesuai yang mudah diakses oleh golongan muda.

Menurut mereka, media sosial sememangnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan baik, namun tanpa pemantauan dan kawalan, ia berpotensi mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai risiko.

Menurut, El Taraf Mohd Zachariah, berkata ruang siber yang terlalu terbuka boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak yang masih belum mampu menilai baik dan buruk sesuatu kandungan.

Sementara itu, Siti Rakhasyah Azelan berpendapat pemantauan ibu bapa amat penting kerana kanak-kanak cenderung untuk meneroka pelbagai perkara, termasuk kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Roslizon Ghazal yang menyatakan penggunaan gajet secara berlebihan, khususnya dalam kalangan remaja, boleh menjejaskan tumpuan serta perkembangan pemikiran mereka.

Sehubungan itu, pelaksanaan Peruntukan Deeming dilihat mampu memperkukuh tahap keselamatan dalam talian di negara ini, sekali gus membantu ibu bapa dalam melindungi anak-anak daripada ancaman negatif di dunia digital.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI