TANJONG MALIM, 20 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan dengan memperkenalkan SOVO Kit 2.0 sebagai aplikasi interaktif yang dibangunkan khas bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bahasa asing.
Ketua penyelidik, Dr Mariyati Mohd Nor berkata SOVO Kit 2.0 boleh dimuat turun melalui platform Android dan Apple malah direka mesra kanak-kanak dengan penggunaan gambar-gambar menarik serta berwarna-warni.
Aplikasi yang dibangunkan bersama rakan penyelidik Dr Robe’ah Yusuf, Noraziah Abdul Aziz, Noor Azalina Buang, Tan Lee Na dan Muhammad Hilmi Che Ahamad itu menekankan gabungan bunyi dan suara yang menghasilkan konsep SOVO sebagai medium utama pembelajaran.
Beliau berkata penyelidik yang terlibat daripada pelbagai latar belakang kepakaran bahasa asing yang membolehkan SOVO Kit 2.0 dibangunkan dengan kandungan yang lebih autentik, menyeluruh dan sesuai dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak.
Aplikasi itu, katanya, turut menawarkan pelbagai latihan bahasa berasaskan kemahiran mendengar, sekali gus membantu kanak-kanak atau pelajar permulaan memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan.
Antara bahasa yang ditawarkan adalah bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Mandarin dan bahasa Jepun.
Dr Mariyati juga berharap aplikasi tersebut memberi manfaat kepada pelbagai pihak.
“SOVO Kit 1.0 adalah asas kemahiran mendengar sahaja namun terkini SOVO Kit 2.0 lebih menarik kerana menyediakan peluang kepada kanak-kanak dan pelajar untuk menguasai lima bahasa asing dengan pendekatan yang interaktif, menyeronokkan dan autentik.
"Melalui penggunaan kit ini, kami yakin proses pembelajaran bahasa dapat diperkukuh sejak usia muda, sekali gus membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia global," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad menyifatkan projek tersebut sebagai satu usaha yang bermakna dan bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya Generasi Z yang lebih cenderung dan terdedah kepada dunia digital dan kepelbagaian bahasa.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan bahasa asing sejak peringkat awal tetapi juga menyemai minat dan keterbukaan generasi muda untuk berinteraksi dalam persekitaran global,” katanya.
Beliau yakin SOVO Kit 2.0 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran linguistik generasi muda, selain menyokong aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat celik pelbagai bahasa.