JAKARTA, 20 September - Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) akan menganjurkan satu persidangan antarabangsa di Medan, Indonesia dalam usaha untuk memperkasakan golongan asnaf agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka.
Pengerusi FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, ke arah itu persidangan 'International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment' (ICOHOPE) yang bermula 25 hingga 27 September ini akan menjadi platform pengumpulan data dan perkongsian ilmu.
"ICOHOPE memberi tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, teknologi, kesihatan sains serta pembangunan asnaf, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan strategi baharu dalam memperkasa komuniti berpendapatan rendah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program UniMAP International Leadership Mobility 2025 di sini.
Antara barisan pengucap utama pada persidangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor, Presiden Universiti Fatani, Thailand Prof Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya serta Pengasas dan Pengerusi Daffodil Family, Daffodil International University, Bangladesh Dr Md Sabur Khan.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 36 geran penyelidikan telah dikeluarkan FCoEE dengan nilai RM7,000 setiap satu pada tahun ini, berbanding hanya 15 geran pada tahun lalu.
Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, akan menerima anugerah daripada beberapa universiti di Indonesia bagi mengiktiraf sumbangan baginda berdua dalam pembangunan pendidikan termasuk mengasaskan FCoEE.
Sejak ditubuhkan pada 2022, FCoEE telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan bidang pendidikan negara, khususnya di Perlis.