KUALA LUMPUR, 20 September - Malaysia kini memasuki fasa peralihan monsun dengan Monsun Barat Daya berada pada fasa akhir dengan hujan lebat serta ribut petir berlaku pada sebelah petang dan awal malam.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Prince Assad A. Kahar berkata, kejadian itu melibatkan Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.
Sementara itu Monsun Timur Laut pula dijangka bermula pada November dengan membawa hujan berterusan dan angin timuran dominan.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Barat Daya yang hampir berakhir akan beralih kepada Monsun Timur Laut bermula pertengahan November sehingga Mac 2026, membawa taburan hujan lebih tinggi ke negeri-negeri timur Semenanjung, tengah dan barat Sarawak dan Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual secara dalam talian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
MetMalaysia menggunakan pelbagai sistem pemantauan termasuk satelit, radar, dan model ramalan tempatan bagi mengeluarkan amaran awal, seterusnya membantu agensi berkaitan membuat persediaan awal mengurangkan risiko kerugian bencana.
Pada masa sama orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun atau sungai serta menjauhi kawasan berisiko tinggi.