KUALA LUMPUR, 20 September - Kesedaran digital dan langkah pencegahan holistik penting untuk membendung aktiviti judi secara dalam talian supaya tidak mudah terpedaya dengan jenayah siber.
Menurut Ketua Pengajian (Sains Pengkomputeran), UiTM Shah Alam Prof. Madya Ts. Dr. Nor Shahniza Kamal Bashah, perkara tersebut dilihat penting dalam membendung aktiviti jenayah siber daripada terus mengganggu gugat pengguna media sosial.
"Perlu celik IT dan jangan mudah terpengaruh janji kaya cepat. Klik pautan meragukan boleh dedahkan identiti mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan pemantauan dan berjaya menurunkan 10–40 kandungan judi online setiap hari secara bersepadu.
Langkah itu bukan sekadar penguatkuasaan tetapi turut menekankan pendidikan dan kesedaran digital untuk menghalang penyebaran judi online di Malaysia.
Pada masa sama masyarakat dinasihatkan supaya melaporkan sebarang pautan atau transaksi mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera.
Selain itu cakna berkenaan risiko menjadi keldai wang atau 'money mule' tanpa sedar, bagi mengelak kerugian dan penyalahgunaan identiti.
Judi secara dalam talian mencatatkan rekod jenayah siber tertinggi dengan lebih 26,000 kes direkodkan sejak 2022 hingga pertengahan 2025.