KUALA LUMPUR, 19 Disember - Langkah menunda atau mengubah jadual penerbangan dengan kerap ketika musim monsun bukan berpunca daripada masalah teknikal, tetapi sebahagian daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan.
Ia bagi memastikan penerbangan kekal selamat dalam keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan lebat, ribut petir dan angin lintang.
Menurut juruterbang syarikat penerbangan AirAsia, Kapten Johan Farid Khairuddin, cabaran utama yang dihadapi ketika musim monsun bukan lah daripada segi pengendalian pesawat, sebaliknya persepsi dan jangkaan penumpang terhadap keselamatan penerbangan apabila berlaku kelewatan.
Jelas beliau, setiap keputusan untuk menangguhkan atau melencongkan penerbangan dibuat selepas penilaian risiko dijalankan, khususnya bagi mengelakkan situasi berbahaya seperti jarak penglihatan yang rendah, serta risiko 'hydroplaning' semasa pendaratan.
"Jika berlaku penundaan, terutamanaya ketika hujan lebat ia adalah kerana kami mengutamakan keselamatan. Tujuannya untuk menstabilkan penerbangan dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum berlepas atau mendarat," katanya.
Tambah beliau, SOP keselamatan penerbangan menetapkan operasi hanya boleh diteruskan apabila semua parameter keselamatan dipenuhi, termasuk keadaan landasan, cuaca semasa dan ramalan cuaca di laluan penerbangan.
Keputusan berhubung operasi juga tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya hasil kerjasama berpasukan melibatkan Kawalan Trafik Udara, pusat kawalan penerbangan, juruterbang, kru kabin serta unit operasi penerbangan.
"Kerjasama ini membolehkan kami membuat keputusan yang tepat pada masa yang tepat berdasarkan maklumat cuaca dan operasi yang terkini, demi mengekalkan tahap keselamatan maksimum," jelasnya.
Mengulas mengenai kebimbangan penumpang untuk menaiki pesawat ketika musim monsun, beliau menegaskan industri penerbangan kekal sebagai mod pengangkutan paling selamat di dunia berdasarkan statistik dan piawaian keselamatan antarabangsa.
"Walaupun cuaca buruk, penerbangan tetap selamat. Malah secara statistik, risiko kejadian tidak diingini adalah lebih tinggi di darat berbanding di udara," katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik sekiranya berlaku kelewatan atau perubahan jadual penerbangan ketika cuaca buruk, kerana setiap keputusan dibuat berlandaskan SOP keselamatan yang ketat bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan.