KUALA LUMPUR 19 Disember - Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan pengambilan pekerja bawah umur meskipun perkara berkenaan berada pada tahap terkawal dan tidak dianggap sebagai masalah serius.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Kamal Pardi berkata, kerajaan sentiasa bersedia menangani isu berkenaan melalui pelaksanaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 yang menetapkan had umur, tempoh masa bekerja serta jenis pekerjaan yang dibenarkan kepada kanak-kanak dan orang muda.
Kanak-kanak dilarang melakukan kerja berat atau berisiko termasuk pekerjaan yang melibatkan mesin, bahan kimia dan persekitaran berbahaya kerana boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan mereka.
"Sekiranya majikan ingin mengambil pekerja bawah umur 18 tahun, mereka perlu mematuhi syarat ketat termasuk waktu kerja yang terhad serta tugas yang bersesuaian dengan umur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia (SPM di Angkasapuri Kota Media di sini.
Keutamaan kerajaan adalah memastikan kanak-kanak berada di sekolah dan menamatkan pengajian sebelum memasuki alam pekerjaan. Sebarang pengambilan pekerja bawah umur yang disamakan dengan pekerja dewasa dari segi waktu dan jenis tugas merupakan satu kesalahan serius
"Majikan yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda yang amat berat. Sebab itu kami tidak menggalakkan langsung pengambilan pekerja di bawah umur," tegasnya.
Bagaimanapun, Kamal Pardi menjelaskan bahawa terdapat keadaan tertentu yang dibenarkan, seperti kanak-kanak membantu perniagaan keluarga ketika cuti sekolah, dengan syarat berada bawah pemantauan ibu bapa serta tidak menjejaskan keselamatan dan pembelajaran mereka.
Kementerian Sumber Manusia juga menekankan aspek perlindungan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak agar masa depan mereka tidak terjejas akibat eksploitasi pekerjaan.
Dalam usaha memperkukuh pemantauan, kementerian bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta agensi berkaitan lain bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan.
Selain itu, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan sekerja digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan salah laku majikan, termasuk waktu kerja berlebihan dan bayaran gaji tidak setimpal.
"Kami menyediakan saluran aduan melalui aplikasi e-Aduan, e-mel, laman web serta pejabat Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara. Identiti pengadu dijamin dirahsiakan," katanya lagi.
Kamal Pardi menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi buruh memerlukan kerjasama semua pihak, bukan sahaja kerajaan, bagi memastikan generasi muda dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, berpendidikan dan terjamin masa depannya.