KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember ini kepada para pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan memaklumkan, ia selari dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
"Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
"Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini," menurut kenyataan itu.
Berkenaan pemilihan tarikh, ia adalah sebahagian inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
"Pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.
"Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan Tiktok @llmtrafik secara berkala," tambah kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini keadaan trafik.