fb fb fb fb fb

SOP baharu: Tidak perlu meneruskan kuarantin jika ujian negatif pada hari keempat

(Ujian menggunakan RTK-Antigen perlu dibuat dengan penyeliaan pengamal perubatan
yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal atau maya/FOTO HIASAN BERNAMA)


PUTRAJAYA, 26 April- Tempoh kuarantin dikurangkan sekiranya individu terbabit tidak lagi positif COVID-19 sebelum tempoh tujuh hari seperti ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini individu yang dijangkiti COVID-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari.

Namun, katanya, jika kes berkenaan disahkan negatif pada hari keempat, ketika ujian RTK-Antigen dijalankan oleh pengamal perubatan, individu itu tidak lagi perlu meneruskan kuarantin mereka.

"Sekiranya masih positif, individu berkenaan perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

(Sebelum ini individu yang dijangkiti COVID-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari/FOTO FAIL BERNAMA)

Khairy berkata, ujian berkenaan perlulah menggunakan RTK-Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal atau maya.

"Keputusan ujian berkenaan hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam.

"Ini supaya individu berkenaan segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif COVID-19,"katanya.

Khairy berkata, sekiranya individu itu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik selepas menjalani pengasingan selama tujuh hari.

Media Baharu