KUALA LUMPUR, 11 Mei- Kepelbagaian kaum adalah kekuatan di Malaysia, namun ia perlu disokong dengan rasa hormat kepada perbezaan dan menerima kepelbagaian sebagai sebahagian daripada identiti negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meluahkan ucapan itu menerusi hantaran Facebook sempena sambutan Hari Wesak yang akan disambut semua penganut agama Buddha di Malaysia.
"Hari Wesak mengangkat nilai-nilai sejagat seperti kasih sayang, belas ihsan, dan keinsafan diri yang selari dengan aspirasi perpaduan negara kita.
"Nilai-nilai ini faham, hormat dan terima bukan hanya untuk ditutur, tetapi untuk dihayati dalam tindakan dan dasar kita. Ia harus bermula di rumah, diperkukuh di sekolah, diterjemah dalam komuniti, dan dipelihara oleh setiap warganegara," menurut hantaran itu.
Hari Wesak disambut esok merupakan hari suci terpenting bagi penganut Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama iaitu pengasas agama Buddha.