fb fb fb fb fb

2 Mei cuti kelepasan am bagi Johor

JOHOR BAHRU, 27 April- Kerajaan Negeri Johor memberi cuti kelepasan am pada 2 Mei ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan hari ini bersetuju mengisytihar tarikh itu sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Khas Peristiwa bagi Negeri Johor) yang terpakai kepada semua jabatan negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

Beliau berkata, kuasa bagi mempertimbangkan kelulusan Cuti Kelepasan Am (Cuti Khas Peristiwa) adalah mengikut Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) dan kerajaan negeri mempertimbangkan pelbagai perkara bagi pemberian cuti berkenaan, antaranya Hari Pekerja pada 1 Mei iaitu pada Ahad dan Johor tidak terlibat dengan cuti gantian.

“Sambutan Hari Pekerja adalah pada hari Ahad, bagi negeri Johor, cuti hujung minggu adalah pada Jumaat dan Sabtu.

“Oleh itu Johor tidak terlibat dengan cuti gantian pada 2 Mei. Pekerja yang tidak mengambil cuti rehat dan pada tarikh itu perlu bekerja kerana operasi pejabat dan organisasi berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

(Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengumumkan cuti kelepasan am pada 2 Mei
sempena sambutan Hari Raya)

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri mengisytihar hari kelepasan am itu setelah mengambil kira beberapa perkara seperti memudahkan perancangan perjalanan keluarga bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya pada Isnin sebelum perayaan bagi mereka yang bekerja dan tergesa-gesa untuk pulang menyambut perayaan sekali gus memberi ruang melapangkan masa lebih lama bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata selain itu, ia juga dapat meningkatkan motivasi dan kebajikan pekerja dengan pemberian cuti awal serta memudahkan keluarga untuk membuat persiapan raya dengan tenang dan selesa.

Media Baharu