fb fb fb fb fb

SADA sedia pelan kontingensi atasi masalah gangguan bekalan air semasa Aidilfitri - MB

ALOR SETAR, 27 April- Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) akan melaksanakan pelan kontingensi mulai 29 April hingga 6 Mei depan bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang dijangka berlaku di beberapa lokasi di Kedah pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permintaan air dijangka akan meningkat melebihi 30% pada musim perayaan atau pertambahan kira-kira 250 juta liter sehari (MLD) daripada 780 MLD pada hari biasa.

“SADA telah meningkatkan pemantauan bersepadu di semua loji rawatan air (LRA), rumah pam serta kolam imbangan dalam usaha memaksimumkan peratusan pengeluaran air. Pada masa ini kebanyakan LRA bekerja pada kapasiti 100% dan ada LRA yang bekerja pada kapasiti 120%.

“Selain itu, sebarang kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual termasuk pembaikan paip dan penukaran meter ditangguh buat sementara waktu bagi membolehkan tumpuan kepada meningkatkan bekalan air terawat sepanjang musim perayaan ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata pelan kontingensi itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan SADA turut akan mengaktifkan Bilik Gerakan yang berfungsi sebagai platform tambahan bagi pengguna menyalurkan aduan berkenaan isu bekalan air selain menerusi platform sedia ada.

Katanya, sebagai tambahan SADA juga akan mewujudkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di 12 lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi mengalami masalah gangguan bekalan air.

(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

Katanya, pengoperasian PKS akan bermula pada 2 Mei hingga 4 Mei bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau permasalahan secara terus di kaunter pusat itu tanpa perlu menghubungi talian ‘hotline’ atau talian Bilik Gerakan yang dijangka akan mengalami kesesakan.

“Sebuah lori tangki dan tangki statik mengandungi air akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat dengan kadar yang segera,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menasihatkan orang ramai di negeri ini supaya membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang musim perayaan ini.

Media Baharu