KUALA LUMPUR 7 Ogos- Tindakan menyita kenderaan yang tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah akan terus dipergiat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu tidak mengira jenis atau nilai kenderaan.
Tambahnya, pemilik perlu menjelaskan kompaun maksimum RM300 serta melunaskan pembayaran cukai jalan dan insurans terlebih dahulu, sebelum kenderaan mereka boleh dikeluarkan daripada sitaan.
“Kalau mereka tak ada cukai jalan dan insurans, kita sita kenderaan itu sehingga mereka selesaikan semua bayaran yang sepatutnya. Itu ikut undang-undang sedia ada.
Bukan bermaksud kalau ada Rolls-Royce atau Lamborghini, dia boleh bayar saman RM300 dan terus lepas. Tidak. Cukai jalan mesti dilangsaikan dahulu sebelum dilepaskan,” katanya.
Tegas beliau, tindakan itu bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk mendidik masyarakat agar tidak mengambil mudah soal pematuhan undang-undang jalan raya.
Dalam pada itu, Anthony turut mengulas cadangan agar kadar kompaun dinaikkan berikutan pemilik kenderaan mewah yang culas membayar cukai jalan.
Ini susulan terdapat pemilik yang lebih rela membayar saman RM300 daripada memperbaharui cukai jalan yang lebih tinggi.
Menurutnya, perubahan kepada struktur denda bagaimanapun memerlukan semakan semula terhadap akta sedia ada.