fb fb fb fb fb

Lebih 558,000 kandungan dalam talian diturunkan sejak 2022

Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Sebanyak 558,108 kandungan dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform sejak 1 Januari 2022 hingga 1 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kandungan tersebut melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta undang-undang lain yang berkuat kuasa.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Ogos 2025 sahaja, sebanyak 321,012 kandungan perjudian telah diturunkan.

Selain itu, 119,273 kandungan penipuan, 43,585 kandungan jelik, 35,420 kandungan buli atau gangguan, dan 38,818 kandungan palsu turut dikenakan tindakan," katanya.

Teo berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu Aman Anak Begri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, kementerian juga bekerjasama erat dengan agensi penguat kuasa lain bagi menyokong siasatan.

Antaranya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Bank Negara Malaysia (BNM).

“Penglibatan MCMC membantu dari aspek teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi melancarkan siasatan pihak berkuasa,” ujarnya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN