KOTA BHARU, 7 Ogos – Sebanyak 1,040 bas dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi arahan pemasangan tali pinggang keledar sepanjang tempoh penguatkuasaan bulan lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, 813 melibatkan bas ekspres manakala 227 lagi bas persiaran.
Jelas beliau, 11,146 bas ekspres dan 5,170 bas persiaran telah diperiksa sepanjang tempoh itu.
Daripada jumlah tersebut, 1,415 kesalahan dikesan melibatkan pemandu dan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.
"Pelaksanaan operasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran.
Kita yakin dengan penguatkuasaan secara berkala, semua pengusaha bas ekspres dan persiaran akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kelantan 2025 di sini.
Menurut Datuk Jazmanie, penguatkuasaan ini dibuat mengikut arahan Kementerian Pengangkutan bermula 30 Jun hingga 31 Julai lalu.
Bagaimanapun, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan jalan raya.