fb fb fb fb fb

JPJ cadang perluas Program MyLesen B2 kepada pelajar sekolah

Datuk Aedy Fadly Ramli

ALOR SETAR, 10 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memperluas Program MyLesen B2 kepada pelajar sekolah tahun hadapan bagi golongan itu untuk memiliki lesen memandu sah.
 
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keutamaan diberi kepada pelajar sekolah yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan lesen melalui Institut Memandu.
 
Pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi merealisasikan hasrat tersebut.

"Untuk kita bantu murid-murid atau pelajar yang masih tidak mempunyai lesen memandu tetapi menunggang motosikal untuk pergi ke sekolah masing-masing.

"Jadi kita sedang meneliti perkara ini bersama-sama dengan pihak kementerian dan mungkin kita akan jadikan ia satu Program MyLesen B2 untuk peringkat sekolah tahun depan. Tetapi itu dalam pertimbangan, penelitian pihak JPJ dan Kementerian Pendidikan terlebih dahulu," katanya.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu (Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Kedah di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah di Pumpong, di sini.
 
Seramai 1,200 penduduk Kedah yang terdiri daripada pelajar sekolah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta belia kategori B40 telah menerima manfaat daripada Program MyLesen B2 bagi tahun 2025.
 
Untuk rekod, Program MyLesen B2 tahun 2025 telah memberi manfaat kepada lebih 15,000 rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Menerusi program tersebut bayaran ujian memandu bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (Motosikal) ditanggung sepenuhnya kerajaan dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM5.2 juta.
 
Manakala bagi fasa kedua tahun ini, sebanyak 10,000 kuota tambahan bawah Program MyLesen B2 ditawarkan di seluruh negara.
           
Jelas Datuk Aedy Fadly, pihaknya terus komited dan berusaha menjayakan keprihatinan kerajaan ke arah meringankan beban golongan sasar terutamanya pelajar sekolah dan IPTA daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
 
Berkenaan cadangan agar had umur lesen memandu B2 diturunkan daripada 16 tahun kepada 15 tahun seperti dilakukan di beberapa negara, Datuk Aedy Fadly berkata, JPJ belum mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI