fb fb fb fb fb

Individu punya integriti dan tanggungjawab elak penularan wabak COVID-19 - Pakar

KUALA LUMPUR, 27 April - Setiap individu mempunyai integriti dan tanggungjawab kepada diri sendiri dan masyarakat untuk mengelak penularan wabak COVID-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berpendapat beberapa kelonggaran yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini bukan bermakna negara telah bebas dari wabak COVID-19 sepenuhnya.

"Kita kena ingat dalam situasi negara ke fasa peralihan endemik, tanggungjawab sosial amat penting kepada individu sekitar dan keluarga terdekat.

"Kepada kes positif COVID-19, mereka bergejala, demam selesema dan batuk serta sesiapa yang diarah menjalani Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) perlu dengan rasa tanggungjawab duduk di rumah dan selesaikan proses kuarantin," katanya kepada RTM.

(Dr Hanafiah Bashirun)

Perkara sama disuarakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

"Tidak perlu mengimbas MySejahtera untuk masuk ke premis, ini adalah satu kelonggaran dan tidak begitu memudaratkan kepada orang ramai sekiranya mereka mematuhi, begitu juga dengan SOP semasa perayaan Aidilfitri.

"Sebenarnya tanggungjawab untuk masyarakat, jatuh kepada mereka sendiri untuk bersama-sama membantu mengekang jangkitan COVID-19 dan seterusnya akan beralih kepada fasa endemik sepenuhnya," kata beliau.

(Datuk Dr Zainal Ariffin Omar)

Media Baharu