fb fb fb fb fb

Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka digalakkan

ALOR SETAR, 20 April- Umat Islam di Kedah digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di mana-mana masjid dan surau di negeri itu.
 
Ia selaras dengan saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar semua pihak mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan penularan virus COVID-19 dapat dikawal dan dicegah.
 
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Abd Ghani Zainudin dalam kenyataan berkata, ketika ini kes positif COVID-19 belum lagi reda sepenuhnya, malah masih berlaku peningkatan kes positif di seluruh negara.
 
Beliau berkata, mengambil kira situasi terkini serta akan berlaku peningkatan kontak rapat antara individu di mana umat Islam seluruh pelusuk negara akan pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat, sewajarnya situasi tersebut dipandang serius oleh semua pihak.

(Foto fail)

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dengan nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka.
 
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar prihatin dan mengambil langkah sewajarnya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya dan rumah terbuka.
 
Beliau berharap usaha tersebut dapat membantu pihak kerajaan dalam membanteras virus COVID-19 daripada merebak.

Media Baharu