KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan akan melipatgandakan sokongan terhadap sektor bernilai tinggi bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara serta menarik lebih banyak pelaburan strategik berimpak tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat berkata, antara langkah utama ialah peruntukan berjumlah RM200 juta melalui Dana Pelaburan Bersama Strategik.
"Dana ini bagi menyediakan dana padanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan yang memperkukuh rantaian bekalan sektor utama melalui platform Pendanaan Ekuiti (ECF) dan Pembiayaan Rakan Setara (P2P).
"Selain itu, RM180 juta Dana Pembangunan Industri NIMP akan digunakan untuk membiayai program pembangunan industri berimpak tinggi termasuk farmaseutikal, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), digital dan kelestarian," katanya.
Sementara itu, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor bagi meningkatkan kerjasama antara firma tempatan dan syarikat multinasional.
Melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) turut menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya oleh syarikat tempatan dalam sektor E&E.
"Bagi membantu syarikat pemula semikonduktor mengatasi kos prototaip yang tinggi, kerajaan juga akan melancarkan SemiconStart, program inkubator oleh MTDC bersama inkubator global bagi menyediakan bimbingan, akses pembiayaan antarabangsa, prototaip berdiskaun serta rangkaian pelanggan," jelasnya.