fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi, penjimatan kira-kira RM15.5 bilion setahun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, lebih banyak peruntukan untuk kos sara hidup, dan lebih banyak pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti.

Beliau berkata semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi. Namun, ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.

"Memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan syarikat besar," jelas Datuk Seri Anwar.

Antara langkah yang telah dilaksanakan dan hasil penjimatan penyasaran subsidi adalah seperti berikut:

a) Pengapungan harga ayam jimat RM1 bilion dan harga ayam terkawal
b) Pengapungan harga telur menjimatkan RM1 bilion
c) Penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik purata jimat RM6 bilion. Malah, 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif dan ada yang menikmati penurunan bil;
d) Penyasaran subsidi diesel jimat RM5 bilion. Malah, sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi. RM200 sebulan diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil.
e) Penyasaran subsidi RON95 berpotensi jimat sekurangkurangnya RM2.5 bilion. Malah rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah RM1.99.
f) Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada RM1.99 seliter.
g) Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat.

ROSLINA BINTI DIN