fb fb fb fb fb

PM tersinggung, ada pihak cuba cetus polemik politik isu Gaza

Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya hari ini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa tersinggung terhadap segelintir pihak yang cuba menimbulkan polemik politik tidak sihat berkaitan usaha perdamaian dan misi kemanusiaan di Gaza.

Perdana Menteri berkata, beliau kesal kerana masih ada pihak yang mempertikai misi kemanusiaan yang disertai rakyat Malaysia ke Gaza baru-baru ini, selain membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini pada akhir bulan ini.

“Saya sedikit tersinggung apabila usaha yang ingin kita lakukan diselitkan dengan polemik politik yang tidak sihat. Begitu juga dengan anak-anak kita yang menyertai flotila, bukan semua sanggup menggadai nyawa untuk membantu rakyat Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Solat Jumaat di Surau Fathurrahman, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Melinjau, Putrajaya, hari ini.

Solat Jumaat itu dipimpin oleh Imam Ustaz Khairul Anuar Mohd Saruwan, yang menyampaikan khutbah bertajuk “Lelaki Qawwam (Sejati) Bukan Sekadar Nama.”

Khutbah tersebut antara lain mengingatkan bahawa lelaki sejati ialah pemimpin yang memimpin dengan iman, memikul amanah keluarga dengan adil serta berasaskan kasih, tanggungjawab dan ketakwaan kepada Allah, bukan dengan kuasa semata-mata.

Ia turut menegaskan bahawa lelaki sejati adalah pemimpin yang adil, sabar dan berwibawa, melindungi keluarganya daripada maksiat serta membimbing mereka menuju keredaan dan syurga Allah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE