KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Bermula tahun depan, had umur belia ditetapkan kepada 15 hingga 30 tahun.
Ini bagi memastikan penyertaan dan sumbangan mereka kepada kemajuan negara lebih terarah dan benar-benar berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM250 juta disediakan, termasuk memulakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara rintis di peringkat pendidikan tinggi sebelum pelaksanaan penuh pada 2027.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan pula, Khazanah menyediakan RM200 juta untuk Program K-Youth yang memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi.
Sementara itu, kira-kira RM30 juta diperuntukkan bagi meneruskan manfaat program Industrial Boot Camp (IBC) MARA, yang berjaya melatih hampir 5,000 peserta dengan jaminan pekerjaan.
Dalam pada itu, inisiatif Rakan Muda diberi nafas baharu dengan peruntukan RM40 juta, antaranya untuk program mendekati belia di desa tercicir dan terpinggir daripada pendidikan dan pekerjaan.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut menggalakkan anak muda menceburi perniagaan.
BSN, katanya menyediakan pembiayaan RM150 juta kepada usahawan belia yang berumur 30 tahun ke bawah.
Manakala, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera SME Corp pula menyediakan RM12 juta untuk latihan dan bantuan perniagaan.
Bagi program lesen motosikal kelas B2, kerajaan akan terus menanggung bayaran bagi menyokong belia kurang mampu terlibat dalam perkhidmatan penghantaran.