fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 peruntuk RM470 bilion, sokong pertumbuhan meski cabaran global

Foto arkib

KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan sejumlah RM470 bilion, meningkat berbanding RM452 bilion pada tahun lalu, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana ketidaktentuan global.

Daripada jumlah itu, RM338.2 bilion disediakan untuk belanja mengurus Persekutuan, manakala RM81 bilion diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Selain itu, RM30 bilion dilaburkan menerusi GLIC, RM10 bilion melalui pelaburan awam-swasta serta RM10.8 bilion daripada badan berkanun Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (MKD).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun ekonomi dunia berdepan perang tarif Amerika Syarikat serta konflik geopolitik, Malaysia masih menunjukkan daya tahan.

“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama 2025 mencatat 4.4 peratus, manakala unjuran semula bagi tahun penuh adalah antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

Ini membuktikan asas ekonomi kita kekal kukuh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk tahun 2026, ekonomi negara diunjur berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus, meskipun dijangka terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi.

Datuk Seri Anwar menegaskan, momentum pertumbuhan akan terus didukung dasar fiskal mengembang, dengan kerajaan mengoptimumkan hasil negara termasuk daripada dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, badan berkanun serta syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN