(Persembahan sketsa bertajuk Konkurensi Sarmosa oleh SMK Rancha-Rancha)
LABUAN, 5 Ogos- Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha muncul juara Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung pagi tadi bertempat di Auditorium Mini Anjung Budaya Perbadanan Labuan.
Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan salah satu pengisian bagi menggelorakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Azman Sipan, Pertandingan Sketsa Rukun Negara itu berkonsepkan seni lakon dengan mengadaptasi lima Prinsip Rukun Negara.
Pertandingan melibatkan kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan dengan Kementerian Pendidikan manakala peserta terdiri daripada pelajar yang merupakan ahli Kelab Malaysiaku.
SMK Rancha-Rancha munjul juara memenangi hadiah berupa wang tunai RM2,000.00 selepas menjayakan sketsa bertajuk Konkurensi Sarmosa, sekali gus akan mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke pertandingan Sketsa Rukun Negara peringkat kebangsaan.
Tempat kedua menjadi milik SMK Labuan manakala tempat ketiga dimenangi oleh SMK Lajau.
Dua lagi sekolah iaitu SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Berdaun menerima hadiah saguhati.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Haji Syawal Salleh.
(Juara, SMK Rancha-Rancha)