KUALA LUMPUR, 20 November - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempertingkat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan memastikan semua struktur kawalan banjir berada dalam keadaan baik.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air Dan Hidrologi JPS, Mat Pua’at Mat Husain berkata, agensi itu telah membuat persediaan rapi termasuk membina dan menaik taraf struktur kawalan seperti ban, sistem kolam takungan dan komponen berkaitan bagi mengurangkan impak banjir.
Penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir adalah sesuatu yang kompleks, namun usaha berterusan sedang dilakukan bagi meningkatkan kadar pengurangan risiko.
"Penyelenggaraan berkala amat penting. Walaupun struktur telah siap dibina, tanpa penyelenggaraan ia tidak akan berfungsi seperti yang direka bentuk.
"Dengan kerja penyelenggaraan yang baik, aliran air dari kawasan hulu ke hilir dapat disalurkan dengan lebih selamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kawasan berisiko banjir, Mat Pua’at berkata, jumlah keseluruhan di Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum ini melebihi 500 lokasi, namun angka itu telah berkurangan hasil pelaksanaan projek mitigasi banjir.
"Sekarang ini, kita masih mempunyai sekitar 300 lebih lokasi hotspot untuk dipantau. Pengurangan ini menunjukkan keberkesanan kerja-kerja naik taraf dan pembinaan struktur kawalan banjir," katanya lagi.
JPS memberi jaminan bahawa semua langkah kesiapsiagaan termasuk rondaan, penyelenggaraan dan pemantauan paras air sedang dilaksanakan secara berterusan menjelang musim tengkujuh, demi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Dalam pada itu, orang ramai digesa merujuk laman web Public Info Banjir bagi mendapatkan maklumat semasa mengenai situasi banjir.
"Daripada maklumat Public Info Banjir, orang ramai boleh mengetahui situasi semasa termasuk lokasi-lokasi berisiko dan arah aliran air. Ini sangat membantu dalam merancang perjalanan dan langkah keselamatan," katanya.