KUALA LUMPUR, 20 November - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan pelantikan bekas anggota tentera dan polis sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dilakukan secara teliti melalui saringan ketat serta latihan khusus bagi memastikan mereka mampu menyokong pembangunan modal insan pelajar.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, calon warden dikenal pasti melalui kedua-dua agensi berkenaan sebelum menjalani proses temu duga yang menilai rekod disiplin, integriti serta memastikan mereka bebas penyalahgunaan dadah atau alkohol.
"Warden diberikan latihan berkala dalam psikologi pendidikan, komunikasi berkesan, pendekatan pedagogi, pengurusan krisis, SOP asrama dan keselamatan pelajar.
"Latihan berterusan dilaksanakan supaya warden kekal relevan dengan keperluan semasa. Warden bukan hanya menjaga keselamatan fizikal, tetapi juga membentuk sahsiah, disiplin dan moral pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian memaklumkan pelantikan itu dilaksanakan secara projek rintis di dua lokasi iaitu MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) serta PERHEBAT.
MARA turut menyediakan latihan berkala merangkumi psikologi pendidikan, komunikasi berkesan, kaedah pedagogi, pengurusan krisis serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) asrama dan keselamatan pelajar. Latihan berterusan turut diberikan bagi memastikan warden kekal relevan dengan keperluan semasa.
Kementerian menegaskan pendekatan menyeluruh itu melibatkan saringan latar belakang, temu duga, latihan psikologi dan pedagogi serta pemantauan berterusan bagi menjamin kualiti warden dilantik.
Projek rintis tersebut turut akan dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa sebelum diperluas ke MRSM lain di seluruh negara.