KUALA LUMPUR, 20 November - Komuniti Orang Asli dan penduduk pedalaman kini menikmati akses pendidikan lebih baik susulan pelaksanaan Program Sekolah Terapung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program itu telah diperkenalkan di beberapa kawasan terpencil di Perak, Kelantan dan Sabah menggunakan rumah rakit atau houseboat sebagai ruang pembelajaran mudah alih.
Beliau berkata inisiatif yang mula beroperasi pada 13 Oktober itu melibatkan keseluruhan 246 murid.
“Program Sekolah Terapung Tasik Banding diperkenalkan sebagai inisiatif inovatif di bawah program khas pendidikan manusiawi Pro Khas bagi murid yang menghadapi cabaran jarak, demografi, perintangan pengangkutan dan ketiadaan kemudahan asas untuk sekolah.
"Semua ini berpaksikan kepada Rukun Madani iaitu prinsip ihsan dan daya cipta,” katanya ketika menjawab soalan S. Kesavan (Sungai Siput) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Fadhlina, KPM komited memastikan murid komuniti pedalaman tidak tercicir dan menerima pendidikan berkualiti setara murid di kawasan lain.
Beliau berkata pelaksanaan program itu turut mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak dan agensi berkaitan melalui penyediaan latihan khas kepada guru.