PUTRAJAYA, 3 Januari - Usaha memperluas penanaman padi di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan akan dilipatgandakan tahun ini termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penanaman padi secara besar-besaran di seluruh negara akan dapat menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan perubahan iklim.
"Selain berupaya menambah pendapatan golongan pesawah menerusi peningkatan hasil padi, program itu juga disasarkan untuk membantu menghentikan kebergantungan negara terhadap beras import dalam tempoh dua tahun," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Mohamad, Program SMART SBB Ala Sekinchan itu akan memberi tumpuan kepada model dan amalan pertanian baik yang kini sedang dilaksana di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah.