SHAH ALAM, 30 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuh pemeriksaan di stesen minyak seluruh negeri susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata pemeriksaan memberi fokus memastikan hanya kumpulan berkelayakan membeli petrol RON95.
"Kami memastikan tiada berlaku penyalahgunaan MyKad serta tiada kenderaan asing mengisi petrol RON95.
Bagi memperkukuh kerjasama dengan agensi lain, kami turut memperhebatkan pemantauan dan meminta pengusaha stesen minyak memberi kerjasama dalam memudahkan pelaksanaan pada hari pertama," kata Mohd Hanizam kepada pemberita, hari ini.
Beliau turut menegaskan, pemeriksaan akan diteruskan dengan melibatkan semakan pengesahan status di pam minyak serta rondaan Unit Rondaan Penguat Kuasa.
Terdapat, sejumlah 738 stesen minyak di Selangor dipantau secara terancang dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklumat melalui WhatsApp 019-848 8000 atau talian hotline KPDN 1-800-886-800.