KUALA LUMPUR, 30 September - Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menegaskan perkara itu bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, tetapi pengiktirafan terhadap ASEAN serta kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi.
"Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum pandangan beberapa pihak, termasuk tokoh politik tanah air, yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik susulan pendiriannya mengenai isu Palestin.
"Pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak pernah berubah kerana ia jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menjadi suara lantang membela Gaza di pentas antarabangsa," katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Rabu.
Tunku Nashrul menambah, Anwar Ibrahim turut mengecam kekejaman Israel serta mengetuai suara moral umat Islam di dunia, bahkan pandangan tegas ini pernah disuarakan kepada bekas Presiden AS sebelum ini.
Katanya, menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukan penyelesaian kerana prinsip diplomasi menuntut Malaysia menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak atau meminggirkan rundingan rasmi antarabangsa.
Beliau berkata pendekatan itu menzahirkan solidariti Malaysia kepada Gaza, sambil menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam mendepani cabaran diplomasi global.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di ibu negara bermula dari 26 hingga 28 Oktober ini.