KUALA LUMPUR, 30 September - Malaysia menyasarkan ketibaan seramai 40 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini sebagai langkah awal ke arah menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata bagi mencapai sasaran tersebut, usaha mempromosikan TMM2026 perlu dipertingkatkan secara menyeluruh di semua peringkat, termasuk oleh wakil Tourism Malaysia di luar negara.
“Pada masa sama, kita nak minta semua (wakil Tourism Malaysia) adakan promosi di negara masing-masing, negara kita ada banyak destinasi menarik, boleh menarik kehadiran pelancong. Buat promosi tentang negara ini.
“Sehingga Jun tahun ini, kita sudah memperoleh 20.6 juta pelancong. Jadi, saya percaya sasaran kedatangan 40 juta itu boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak. Kita tidak boleh berpuas hati kerana persaingan destinasi lain juga amat sengit,” katanya selepas sesi Mesyuarat bersama Pengarah-Pengarah Tourism Malaysia Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Tambah beliau, Malaysia tidak boleh leka kerana negara-negara serantau seperti Indonesia, Jepun, Korea dan Vietnam semakin agresif dalam mempromosikan pelancongan masing-masing.
Libat urus tersebut turut merangkumi sesi dialog awam bersama agensi-agensi utama seperti MyCEB, MM2H, FINAS dan Bahagian Dasar (Budaya) MOTAC dalam usaha menyelaras strategi promosi secara lebih bersepadu.
Kerjasama erat dengan syarikat penerbangan juga diberi penekanan termasuk membuka laluan baharu, meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperluas capaian ke pasaran global.
Tiong turut menyatakan bahawa kedatangan pelancong antarabangsa kini menunjukkan trend pemulihan yang positif, dengan tumpuan diberikan kepada pasaran Asia Barat dan Afrika menjelang TMM2026.