fb fb fb fb fb

SKMM akan padam 'content' guru dedah muka pelajar tanpa kebenaran

Teo Nie Ching

KULAI, 24 Mac- Semua guru yang mengajar di sekolah perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum merakam atau mengambil gambar pelajar bagi tujuan kandungan media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan bekerjasama dengan platform media sosial untuk menurunkan kandungan yang mempamerkan pelajar sekolah sekiranya menerima aduan.

Jelas beliau, satu garis panduan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2017 berhubung nilai dan etika penggunaan media sosial oleh guru dan murid.

"Kementerian Komunikasi tiada garis panduan terhadap guru, tetapi sebenarnya KPM telah keluarkan garis panduan dan garis panduan itu sudah lama keluar.

"Persetujuan ibu bapa bagi minor (bawah umur) adalah sangat penting. Saya percaya bahawa ini juga merupakan garis panduan untuk semua platform.

"Sekiranya kementerian saya terima apa-apa aduan yang menyatakan bahawa imej anak mereka telah wujud dalam video tetapi tanpa persetujuan mereka...tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita pada Program Serahan Bantuan Masjid dan Surau Parlimen Kulai di sini.

Tambah Nie Ching, kementeriannya telah menerima sebanyak 705 aduan berkenaan penipuan dalam talian dan 61 aduan penipuan cinta, setakat 20 Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, sebanyak RM87,000 telah disumbangkan kepada 29 buah masjid dan 58 buah surau di sini sempena Ramadan dengan masing-masing menerima RM1,000.

Jelas beliau, jumlah sumbangan tahun ini meningkat berbanding RM58,000 tahun lalu.

Selain itu, pihaknya juga komited untuk bekerjasama dengan Pegawai Daerah Kulai bagi memastikan permohonan membina sebuah masjid daerah mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.

Sebanyak RM157,400 diperuntukkan oleh Parlimen Kulai pada 2022 untuk menaik taraf dua masjid dan empat surau, manakala RM50,000 pada 2023 untuk perkara sama bagi tiga masjid dan dua surau.

SITI AISHAH MD ISA