LABUAN, 24 Mac - Sempena program Jelajah Ramadan, LABUANfm menyantuni 86 pelajar terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf, dengan menyediakan perkhidmatan pemotongan rambut secara percuma.
Murid berumur lingkungan 11 hingga 17 tahun turut menerima sumbangan duit raya pada program yang berlangsung di Kompleks Darul Kifayah (KDK) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.
Timbalan Pengerusi PUSPANITA Labuan, Dayang Monira Mohamad Yusoff berkata program tersebut hasil kerjasama Persatuan Suri Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan MAIWP Labuan.
"Program ini sempena hari raya, disamping itu kita dapat memeriahkan program hari raya. Kita juga tidak lupada kepada mereka-mereka yang berada di KDK ini.
"Kita berkongsi kemeriahan Aidilfitri bersama mereka, kita tidak melupakan mereka juga," katanya ketika ditemui RTM.
Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Fauziah Mohd Sidek.
Program Jelajah Ramadan RTM adalah platform bagi mendekati lebih ramai komuniti setempat terutama di kawasan luar bandar sekali gus mendekati golongan sasar terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Memasuki edisi ke-12, Wilayah Persekutuan Labuan menjadi laluan ke-4 daripada 6 laluan utama di seluruh negara.