fb fb fb fb fb

KEMAS Perlis anjur program santuni ibu tunggal, anak yatim dan asnaf

Rozabil Abdul Rahman (diri)

PAUH, 24 Mac- Lebih 1,000 orang menyertai Program Jom Masuk Kampung Santunan Kasih Ramadhan@Perlis DUN Pauh yang diadakan di Masjid Kampung Padang Siding, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Perlis serta komuniti tempatan itu diadakan bermula 23 hingga 27 Mac ini melibatkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Arau.

Seramai 82 ibu tunggal dan 36 anak yatim menerima sumbangan di Masjid Al Masyhoor Padang Siding di sini yang merupakan lokasi pertama program berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS negeri, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Masjid Negeri Arau, Masjid Al Masyhoor Padang Siding, Masjid Muhammadiah Guar Gajah, Masjid Al Mursyid Guring dan Masjid Ali Amran Ulu Pauh bagi mengimarahkan lima institusi terbabit dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut menyertai program tersebut dengan memberi sumbangan kepada 28 orang asnaf daripada golongan B40 bagi kawasan DUN Pauh.

Hari ini, program berkenaan diadakan di Masjid Uthman Al Affan Kampung Surau,Tambun Tulang; diikuti Masjid Al Ikram Kampung Sena, Guar Sanji (esok); Masjid Putra Simpang Empat, Simpang Empat (26 Mac) dan Masjid Al Maghfirah Kampung Rama, Sanglang (27 Mac).

SITI AISHAH MD ISA