fb fb fb fb fb

Skim penipuan kerja: 5 rakyat Malaysia dibawa pulang dari Kemboja

(Lima warganegara Malaysia yang ditahan di depoh Imigresen Phnnom Penh Kemboja selepas terlibat
dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan selamat tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang)

SEPANG, 27 Januari- Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa skim penipuan kerja di luar negara berjaya diselamatkan.

Mereka dibawa pulang dari Kemboja hasil rundingan Malaysia dengan pihak berkuasa negara itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, mangsa yang dibawa pulang berusia antara 16 hingga 42 tahun.

Katanya, mereka dipercayai pergi ke negara itu selepas terpedaya dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan.

Mangsa diselamatkan hasil rundingan yang diketuainya sendiri.

"Mengikut peraturan undang-undang sepatutnya perlu menunggu sebulan. sekurang-kurangnya sebulan. tapi dapat dilepaskan dalam masa 24 jam. Iini adalah hasil kerjasama baik antara Kementerian Luar Malaysia, Kemboja dan PDRM bersama Polis Kemboja," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media bersama lima mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja yang diselamatkan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

Sementara itu, katanya, sehingga 26 Januari 2023, PDRM menerima 262 laporan polis yang melibatkan seramai 330 orang mangsa yang melaporkan terkandas di luar negara kerana jenayah penipuan kerja.


(Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul jJalil Hassan)

Daripada jumlah mangsa itu, katanya, 218 mangsa sudah diselamatkan dan terdapat 113 mangsa masih terkandas di luar negara iaitu di Kemboja, Myanmar, Laos dan lain-lain.

"Bagi negara Kemboja, sehingga tempoh masa yang sama terdapat 114 laporan polis diterima yang melibatkan 145 orang mangsa.

"Daripada jumlah mangsa itu, seramai 116 mangsa berjaya diselamatkan dan 29 mangsa masih terkandas di Kemboja.

"Terdapat juga enam mangsa yang sudah diselamatkan tetapi sedang ditahan di depoh imigresen Kemboja kerana pelanggaran undang-undang imigresen," katanya.

Media Baharu