fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia terkandas: Usaha bawa pulang perlu guna saluran rasmi

(Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan (kanan) dan
 Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar Mohd Aini Atan (kiri)

SEPANG, 27 Januari- Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja perlu menggunakan saluran rasmi.

Pihak berkuasa Kemboja memohon agar maklumat mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di negara itu disalurkan kepada Kedutaan Malaysia di sana atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, keputusan dibuat pihak berkuasa negara itu selepas kecewa dengan maklumat segelintir NGO yang mengambil kesempatan dengan menggembar-gembur berita tidak benar mengenai situasi dihadapi mangsa.

"Sebarang maklumat yang disalurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) kepada pihak berkuasa negara berkenaan tidak akan dilayan sama sekali mulai hari ini kerana dikhuatiri mengganggu usaha menyelamat.

"Melalui perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja didapati maklumat yang disalurkan oleh NGO telah mengganggu proses menyelamat kerana mangsa telah dibawa lari oleh sindiket," katanya dalam sidang media bersama lima mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja yang diselamatkan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.

Turut hadir Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar Mohd Aini Atan.


(Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan bersama warganegara
Malaysia yang ditahan di depoh Imigresen Phnnom Penh Kemboja selepas terlibat
dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan selamat tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang)

Sementara itu Abd Jalil berkata hasil pertemuan dan perbincangannya dengan pihak berkuasa Kemboja juga mendapati sesetengah dakwaan pihak NGO mengenai keadaan mangsa, adalah tidak berasas.

"Video mangsa sindiket didera dan dipaksa memakan daging babi tidak melibatkan rakyat Malaysia. Video berkenaan sengaja disebarkan oleh anggota sindiket untuk menakut-nakutkan waris mangsa agar mereka membayar wang untuk membebaskan anak atau anggota keluarga mereka itu," katanya.

Selain itu katanya tidak semua individu yang diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia merupakan mangsa sindiket kerana ada kes individu sengaja mendakwa sebagai mangsa untuk lari daripada hutang akibat berjudi, malah ada yang kembali bekerja di Kemboja selepas ‘diselamatkan’.

Sehubungan itu beliau menasihatkan NGO agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu bagi mengelak ia mengeruhkan hubungan antara dua negara.

Media Baharu