fb fb fb fb fb

Noh, Khairy sah dipecat daripada UMNO, Hishammuddin digantung enam tahun

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pemecatan kedua-dua mereka disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

"Turut dipecat ialah lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.

Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terbabit membantu parti lawan ketika PRU-15," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

(Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein/FOTO Facebook Khairy)

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif digantung hak dalam parti selama enam tahun.

"Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu," katanya lagi.

Tindakan-tindakan ini diumumkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Ketetapan dibuat oleh mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Zahid Hamidi, tambah Ahmad.

Sebaik sahaja pengumuman pemecatan daripada UMNO, Khairy menerusi Twitternya berkata: “Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken,”.

Media Baharu