fb fb fb fb fb

Skim I-PUSH, Pahang bantu usahawan mikro yang terjejas akibat COVID-19

KUANTAN, 17 Oktober- Kerajaan Pahang hari ini menyampaikan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang yang dikenali sebagai (Skim I-PUSH) kepada 751 pemohon membabitkan peruntukan RM7.15 juta bagi fasa 1.

Skim bantuan I-PUSH tersebut bertujuan membantu ushawan mikro di Pahang yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta banjir sebelum ini dengan pembiayaan pembayaran balik tanpa faedah dan penawaran moratorium setahun termasuk tiada caj tambahan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada Skim I-PUSH yang bakal memberi manfaat kepada 2,500 usahawan mikro di Pahang.

Menerusi skim itu juga, jumlah pinjaman yang ditawarkan adalah antara RM3,000 sehingga maksimum RM10,000 kepada setiap pemohon.

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM20 juta dan kita bagi maksimum RM10,000 moratorium setahun, maknanya dalam setahun mereka tidak perlu membayar apa-apa kepada kerajaan, selepas satu tahun baru pemohon bayar.

Ini adalah usaha yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta cakna kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19," kata Wan Rosdy kepada pemberita RTM selepas Majlis Penyampaian Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (Skim I-PUSH) Tahun 2022 di Dewan Majlis Bandaraya, di sini.


(Majlis Penyampaian Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang
(Skim I-PUSH) Tahun 2022 diadakan di Dewan Majlis Bandaraya, Kuantan, hari ini)

Tambah beliau, bagi fasa kedua, sebanyak RM12.85 juta lagi telah diperuntukkan yang dijangka akan disalurkan kepada usahawan-usahawan mikro di Pahang pada November nanti.

Bagi menjayakan Skim I-PUSH katanya, kerajaan negeri telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad melalui program sokongan Bank Muamalat I-TEKAD.

Menerusi Skim I-PUSH dan I-TEKAD itu, ia turut membantu usahawan melalui bantuan agihan kewangan dan pembiayaan mikro, latihan dan bantuan pensijilan halal kepada golongan usahawan asnaf, B40 serta usahawan kecil dan sederhana di seluruh Pahang.

Media Baharu