KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kerajaan Persekutuan bersedia mempertimbangkan peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta untuk projek pelebaran jambatan di Pekan Tapah.
Jelas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, cadangan penambahbaikan tersebut masih dalam proses penilaian, dan kementerian kini menunggu permohonan rasmi daripada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.
"Kami akan mencari cara untuk mendapatkannya. Namun, ia perlu melalui proses peringkat negeri sebelum dibawa ke Kementerian Kewangan atau Kementerian Ekonomi sebagai projek yang akan dipertimbangkan," katanya.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut merancang pembinaan jalan pintasan di kawasan Tapah sebagai usaha melengkapkan sistem penyuraian trafik yang lebih berkesan.
Projek sedia ada yang menelan kos RM2.2 juta pula telah berjaya mengurangkan kesesakan di laluan utama pekan.
Ditanya mengenai perkembangan projek Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar, Datuk Seri Alexander berkata syarikat konsesi diberi tempoh dua tahun untuk menyelesaikan segala urusan sebelum kerja pembinaan dimulakan.