DUNGUN, 1 Mei — Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan dalam kejadian di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2), pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi di Kilometer 332.3, selepas susur keluar Plaza Tol Dungun, Terengganu.
Mangsa, Shahrul Isra Razekin, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu sebelum motosikal jenis Zontes 368G yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan.
“Mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang, menyebabkan dia tercampak dari motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Ketengah Jaya yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun bagi proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.