BANGI, 30 APRIL - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 43,455 notis berkaitan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kesalahan larangan pameran produk merokok melibatkan anggaran kompaun sebanyak RM10,424,350.
Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam, Dr. Zulhizzam Abdullah berkata, notis itu telah dikeluarkan sejak penguatkuasaan bermula iaitu dari 1 Oktober 2024 hingga 20 April lalu.
" Sehingga 20 April 2025, sebanyak 338 notis peringatan telah dikeluarkan kepada premis jualan yang belum melaksanakan pematuhan terhadap Peraturan 6 ini di seluruh negara. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah memutuskan untuk melanjutkan penguatkuasaan pendidikan Peraturan 6 sehingga 30 September 2025" katanya.
Sementara itu, Seksyen 16(2) yang melibatkan larangan merokok di kawasan larangan mencatatkan jumlah tertinggi, dengan 41,421 notis kesalahan dikeluarkan melibatkan nilai kompaun RM 10,355,250 juta
Sebanyak 1,382 notis kesalahan juga dikeluarkan kepada orang belum dewasa yang melanggar Seksyen 17(1), dengan nilai kompaun RM69,100.
Tambahnya, sebanyak 11 notis peringatan dikeluarkan kepada premis yang belum mematuhi peraturan, manakala 35 pemakluman pematuhan diberikan kepada premis yang menunjukkan kepatuhan.
Pihak KKM juga akan meneruskan pemakluman pematuhan bagi memastikan pemahaman dan kesiapsiagaan industri sebelum peraturan ini berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Oktober ini.