KUALA LUMPUR, 1 Mei - Semua hospital dan klinik swasta di seluruh negara diwajibkan untuk memaparkan harga ubat di fasiliti masing-masing bermula hari ini.
Pelaksanaan tersebut selaras dengan dasar ketelusan harga yang diperkenal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Inisiatif itu disifatkan sebagai wajar bagi mengelakkan caj tersembunyi serta membantu pengguna dalam membuat perbandingan harga.
Seorang warga emas, S. Raja Kumar bersetuju dengan perkara itu kerana masyarakat boleh mengetahui secara jelas harga ubat di pasaran.
“Saya rasa klinik-klinik memang patut memaklumkan kepada pesakit tentang harga ubat yang mereka beli. Dengan cara ini, saya rasa ini satu situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak dan bagus untuk pesakit yang datang berubat. Sekurang-kurangnya kita tak akan rasa macam kita bayar lebih daripada sepatutnya”, katanya.
Dalam pada itu, Elisha Gomez yang merupakan seorang peguam turut berkongsi pendapat yang sama.
"Saya memang bersetuju dengan polisi ini bagi memastikan ketelusan harga ubat dalam kalangan orang awam. Kerap berlaku kos tersembunyi di klinik swasta, jadi saya memang sokong apabila harga ubat dipaparkan. Kami semua perlu tahu berapa jumlah sebenar kos rawatan", katanya.
Selain itu, Farah Anwar juga menyatakan ketelusan harga tersebut bukan sahaja memberi jaminan, malah membolehkan mereka membuat persiapan kewangan sebelum mendapatkan rawatan.
“Kadang-kadang kita pergi klinik pun kita tidak tahu harga ubat tu berapa. Kadang-kadang caj yang dikenakan tak berpatutan, malah ada yang terlalu mahal. Jadi, kalau kita tahu awal, sekurang-kurangnya kita boleh bersedia dari segi kewangan", katanya ketika ditemui di ibu kota.
Menurut KKM, pelaksanaan dasar ini akan dijalankan secara berperingkat dan pemantauan akan dibuat bagi memastikan pematuhan di semua fasiliti kesihatan swasta.
Klinik dan hospital yang gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Langkah ini merupakan salah satu inisiatif KKM dalam mewujudkan sistem kesihatan yang lebih telus, berpatutan, dan berpaksikan pengguna.