KUALA LUMPUR, 29 November -Melaka menjadi negeri terbaharu dilanda banjir. Manakala situasi banjir di lima negeri iaitu Selangor Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu terus menyaksikan peningkatan penduduk terjejas di pusat pemindahan Sementara (PPS).
Tiga negeri iaitu Kedah, Perlis,Kelantan, menunjukkan penurunan setakat pukul 6.00 pagi tadi.
Sementara itu, Melaka menjadi negeri terbaharu dilanda banjir.
Di Selangor, Jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 4,100 orang daripada 3,125 orang pada Jumaat.
Menurut laman sesawang infobencana JKM, sebanyak 31 PPS dibuka di lima daerah membabitkan 1,124 keluarga.
Antara daerah yang paling terjejas adalah Kuala Selangor dengan 2,903 penduduk daripada 761 keluarga.
Diikuti daerah Sepang dengan 736 penduduk terjejas dengan 220 keluarga yang masih berlindung di 7 PPS.
Di Perak, angka penduduk terjejas terus meningkat dengan 6,255 dilaporkan berlindung di 46 PPS seluruh negeri berkenaan.
Di Negeri Sembilan pula, jumlah penduduk terjejas juga meningkat kepada 366 berbanding 313 pada Jumaat.
Port Dickson merekodkan jumlah tertinggi penduduk terjejas dengan 219 orang, diikuti Kuala Pilah 68 orang.
Melaka pula menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan 307 penduduk terjejas.
Daerah Alor Gajah menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 197 penduduk daripada 59 keluarga berlindung di 6 PPS.
Terengganu pula merekodkan jumlah penduduk paling ramai terjejas dengan 10,397 orang daripada 3,189 keluarga membabitkan 127 PPS di lapan daerah.
Angka berkenaan meningkat berbanding 8,909 orang pada Jumaat.
Daerah Kemaman menjadi antara daerah yang paling terjejas dengan 2,527 orang membabitkan 672 keluarga di 27 PPS.
Selain itu, daerah Marang turut mencatatkan peningkatan dengan 2,007 orang daripada 563 keluarga.
Pahang turut mencatatkan peningkatan dengan 2,375 penduduk daripada 747 keluarga.
Jumlah itu meningkat berbanding 1,705 orang pada Jumaat dengan daerah Raub merekodkan 744 orang penduduk di 20 PPS.
Sementara itu, Kedah terus menunjukkan penurunan penduduk terjejas dengan 3,318 orang yang masih berlindung di 21 PPS.
Kelantan turut menunjukkan penurunan mangsa dengan 3,005 penduduk berbanding 3,484 penduduk malam tadi.( Jumaat).
Di Perlis, jumlah penduduk terjejas turut berkurangan kepada 3,446 orang. Manakala 23 PPS masih dibuka.