BUKIT MERTAJAM, 29 November - Seramai 600 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang kini bersiap siaga menghadapi risiko cuaca tidak menentu di negeri itu.
Pengarah APM Pulau Pinang, Kolonel (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini bersedia sedia 24 jam.
Beberapa lokasi tumpuan seperti daerah SPT dan Seberang Perai Utara dikenal pasti antara kawasan berisiko berikutan aliran sungai utama dari Kedah.
“Kita sentiasa dalam keadaan siaga 24 jam, khususnya di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara yang menerima kesan langsung limpahan air yang banyak.
"Sebenarnya, selain daripada hujan, limpahan air ini turut berpunca daripada negeri Kedah kerana sungai itu melalui daerah kita sebelum mengalir ke laut. Kejadian ini adalah kuasa Tuhan yang tidak dapat dielakkan.
"Namun, kita bersedia bagi mengurangkan kesan kepada penduduk di Pulau Pinang", katanya demikian selepas program pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Skuad Ihsan MADANI di Bukit Mertajam pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan, APM Pulau Pinang menyumbang pelbagai barangan keperluan bagi disalurkan kepada penduduk terjejas banjir di Perlis.