fb fb fb fb fb

Hakisan Pantai Teluk Batik jejaskan infrastruktur

Pemandangan Teluk Batik/BERNAMA

MANJUNG, 29 November -Fenomena ombak besar susulan Monsun Timur Laut (MTL) di pusat peranginan Teluk Batik di sini menyebabkan kawasan pesisiran pantai berkenaan mengalami hakisan teruk.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Manjung, Kapten (PA) Norazlan Turiman, hakisan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur kawasan sekitar termasuk Menara Penyelamat Pantai milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita mula memasuki fasa Monsun Timur Laut pada 13 November, iaitu pada minggu kedua. Dan sejak itu, berlakunya titik permulaan kepada hakisan yang kita lihat sekarang pada 25 haribulan yang lepas.

"Malah, kawasan di Menara APM Perak di Teluk Batik juga terkesan… Banyak pokok di bahagian gigi pantai memang sudah tumbang dan rosak", katanya ketika ditemui RTM di sini.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti di kawasan pantai bermula 25 November lalu. 

Larangan itu termasuk bagi aktiviti berkelah, dan memancing.

Sementara itu, setakat pukul 8 malam tadi (Jumaat), jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat kepada 6, 429 orang daripada 1,980 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di enam daerah iaitu Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah, Bagan Datuk, Mualim serta Larut Matang dan Selama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD