fb fb fb fb fb

234 penduduk Padang Kubu berpindah awal selepas air sungai melimpah

FOTO RTM

KEMAMAN,29 November – Kira-kira 234 penduduk Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu membuat keputusan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kawasan kediaman mereka dinaiki air.
 
Menurut penduduk, air sungai mula melimpah ke kawasan rumah kira-kira pukul sembilan malam tadi (Jumaat) menyebabkan mereka mula membawa pelbagai kelengkapan berpindah ke PPS di masjid kampung berkenaan. 
 
Seorang penduduk, Norazwani Ramli, 22, berkata, dia sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah disebabkan faktor keselamatan.

"“Selepas itu, kira-kira pukul sepuluh, dalam perjalanan datang ke sini, saya singgah di rumah ibu mentua untuk menghantar barang-barang bayi. Kemudian, apabila hampir pukul dua belas, air sudah naik separas separuh dan mengelilingi kawasan dalam rumah.

"Tadi saya hendak pergi melihat keadaan rumah, nak periksa peti sejuk dan barang-barang lain, tetapi tak dapat… sebab air mengalir terlalu deras", katanya ketika ditemui RTM.
 

Seorang lagi penduduk terjejas Hasanah Ismail, 51, berkata air banjir kali ini naik begitu cepat sehingga memaksa mereka sekeluarga membuat keputusan berpindah awal sebelum diarahkan.
 
Menurut Hasanah, tindakan tersebut bagi mengelakkan mereka berpindah di saat-saat akhir lebih-lebih lagi mengambil kira suaminya sedang menderita penyakit angin ahmar sejak setahun lalu. 
 
“Semalam, kira-kira pukul sembilan, kami sudah sampai dan bertolak ke sini. Masa itu memang tak boleh nak bergerak langsung. Kami berdua sahaja yang duduk di sini. Pukul empat barulah orang ramai mula datang", katanya.
 
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Kubu, Sudin Muda berkata, arahan meminta penduduk berpindah awal dilakukannya bagi mengelakkan kesukaran sekiranya air sungai melimpah dan berlaku banjir pada lewat malam.
 
“Kita lakukan pemindahan awal. Maknanya, kita bersiap sedia lebih awal dan meminta penduduk keluar sebelum air naik. Ya, mereka berpindah sendiri mengikut arahan", jelasnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD