fb fb fb fb fb

Perbicaraan kes bunuhan pegawai tinggi polis Indonesia bermula

JAKARTA, 17 Oktober- Perbicaraan kes bunuh membabitkan salah seorang pegawai polis paling kanan di Indonesia bermula hari ini.

Ferdy Sambo, jeneral dua bintang dan ketua hal ehwal dalaman polis negara, dinamakan sebagai suspek selepas pengawal peribadinya ditemukan mati di rumah Sambo pada Julai lalu.

Defendan dituduh mengarahkan seorang bawahan supaya menembak Brigedier Nofriansyah Yosua Hutabarat, atau Brigedier J, sebelum dia menembak mangsa yang cedera sekali lagi untuk membunuhnya.

“Defendan Ferdy Sambo menghampiri mangsa Nofriansyah Yosua Hutabarat yang dalam keadaan tertiarap dan masih bergerak kesakitan berhampiran tangga sebelah bilik air,” kata pendakwa raya Sugeng Hariadi membaca surat dakwaan di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.

“Kemudian, untuk memastikan dia benar-benar mati, defendan Ferdy Sambo yang memakai sarung tangan hitam, mengambil senjata api dan menembak sekali ke bahagian kiri belakang kepala Nopriansyah Yosua Hutabarat,” tambahnya.

Polis pada mulanya dituduh menutup pembunuhan itu sebelum Sambo ditangkap pada Ogos dan dipecat daripada pasukan keselamatan pada bulan September.

(Ferdy Sambo (tengah, berjaket merah), yang dituduh membunuh pengawal peribadi
Nofriansyah Yosua Hutabarat, hadir di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan hari ini untuk
menghadapi hari pertama perbicaraan pembunuhannya/AFP)

Ketika Brigedier J ditemukan mati di rumah Sambo pada 8 Julai, polis pada mulanya berkata seorang lagi anggota keselamatan telah membunuh mangsa selepas menangkapnya menyerang isteri Sambo secara seksual.

Tetapi pada 9 Ogos, Sambo telah ditangkap kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan terancang, manakala isterinya ditahan atas tuduhan sama dua minggu kemudian. Mereka boleh menghadapi hukuman mati jika didapati bersalah.

Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Presiden Indonesia Joko Widodo sendiri menggesa siasatan penuh dan telus dijalankan terhadap kes itu.

Kerajaan mengumumkan siasatan dan pihak berkuasa kemudian mendakwa sekurang-kurangnya enam orang, tiga daripadanya pegawai polis atas peranan mereka dalam kes itu.

Perbicaraan kes Sambo dijangka berlangsung selama beberapa minggu. -AFP

Media Baharu